Khutbah Jumaat : Malu Benteng Mencegah Kemaksiatan - SRA Kampung Kuantan Klang

Hot

Post Top Ad

Jumaat

Khutbah Jumaat : Malu Benteng Mencegah Kemaksiatan



SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.  Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “SIFAT MALU BENTENG MENCEGAH KEMAKSIATAN”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa sifat malu memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada manusia terutama dalam membentengi diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan. Namun, sejak kebelakangan ini sifat terpuji tersebut sudah mula ditinggalkan oleh segelintir masyarakat kerana beranggapan bahawa maksiat yang dilakukan secara tersorok tidak diketahui oleh sesiapa pun. Lebih-lebih lagi sekiranya maksiat yang dilakukan dianggap dosa peribadi yang tidak perlu dipertikaikan oleh orang lain. Saat ini, mereka seolah-olah terlupa bahawa setiap amal mereka dicatat dan dirakam oleh malaikat yang diutus oleh Allah SWT.
Ibnul Qayyim menukilkan bahawa tahap malu seseorang itu berkait rapat dengan keadaan hati mereka. Tatkala sifat malu seseorang itu sangat rendah, ia menunjukkan yang hati dan rohnya telah mati. Sebaliknya, sifat malu yang tinggi menunjukkan keadaan hati mereka menjadi hidup malah mampu membenteng diri daripada melakukan kemurkaan Allah SWT.
Dalam hal ini, hati yang hidup adalah bersangkut-paut dengan adanya sifat malu kepada Allah SWT dan malu kepada manusia. Menurut Imam Tirmizi bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang mafhumnya:

“Hendaklah kamu benar-benar merasa malu kepada Allah SWT. Jawab para sahabat, “Kami sudah merasa malu, Ya Rasulullah. Jelas baginda, “Bukan itu maksudnya. Sesiapa yang benar-benar merasa malu kepada Allah SWT, maka dia perlu menjaga kepala dan isinya, menjaga perut dan isinya serta selalu mengingati mati. Sesungguhnya orang yang mencintai akhirat pasti akan meninggalkan keindahan dunia. Sesiapa yang melakukan ini bererti dia benar-benar merasa malu kepada Allah SWT.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Para ulama bersepakat mengatakan bahawa sifat malu itu adalah sebaik-baik sifat yang harus dimiliki oleh manusia yang waras fikirannya dan lurus perjalanannya. Manusia belum dikira sempurna akhlaknya selagi belum bersifat dengan sifat malu. Firman Allah SWT dalam Surah Al Mulk ayat 12:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang takutkan Tuhannya semasa tidak kelihatan, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.”

Dengan kata lain, mereka yang merasa malu kepada Allah SWT akan bertindak menjauhi segala larangan-Nya dalam semua keadaan sama ada dilihat mahupun tidak. Yang paling nyata, pelaksanaan sifat malu itu ialah ibadah yang buahnya daripada ma’rifatullâh (mengenal Allah) yang terzahir akibat hampirnya seseorang dengan Allah SWT.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Selain itu, kita juga perlu merasa malu kepada manusia. Dengan ini diharapkan sifat malu tersebut dapat mencegah kita dari perbuatan yang tidak selayaknya kita lakukan seperti menyebar fitnah, menjadi batu api dan segala maksiat yang lain. Sebaliknya, mereka yang tiada sifat malu akan menyebabkan benteng dirinya runtuh dan sukar menghalangnya daripada melakukan maksiat. 
Termasuk dalam perbuatan maksiat ini ialah perbuatan riba’ yang terus berkembang kerana sikap segelintir manusia yang suka mengejar keuntungan dunia tanpa ada belas kasihan kepada orang lain. Dalam Islam, memungut riba atau mendapatkan keuntungan berupa riba pinjaman adalah haram. Riba, menyebabkan cahaya sifat malu menjadi malap dan akhirnya terpadam dalam kehidupan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 278:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut), jika benar kamu orang yang beriman.”

Apa yang menyedihkan, masih ada segelintir masyarakat yang menganggap riba itu sama sahaja dengan jual beli. Mereka seolah-olah tidak memahami hakikat riba’ yang sebenar dan akhirnya tersesat akibat tidak ada rasa ingin tahu hukum syarak dalam soal perniagaan. Bahkan ada pula yang sengaja tidak mahu ambil tahu atau pura-pura tidak tahu dan tidak mahu bertanya kepada para ulama kerana menganggapnya akan menyusahkan dirinya sendiri. Imam Al Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Daripada Abi Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda: Akan datang kepada manusia suatu masa di mana seseorang tidak lagi peduli dengan cara apa ia mengambil harta, apakah cara itu halal atau haram”.

Ada pula yang menganggap rasuah itu sebagai jalan mudah untuk mengecap kekayaan dunia sehingga bukan sahaja melakukan dosa malah menjejaskan reputasi umat Islam. At-Tabrani meriwayatkan: 

Mafhumnya: “Daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. (HR at-Tabrani)

Angkara perbuatan ini, tercabutlah sedikit demi sedikit sifat malu dari dalam diri seseorang. Ibn Qayyim pernah menegaskan bahawa sifat malu adalah sifat yang khusus bagi kemanusiaan, maka orang yang tidak memiliki rasa malu bererti tidak ada bagi dirinya sifat kemanusiaan. Kesannya, tetamu tidak akan dihormati, janji tidak ditepati, amanah tidak ditunaikan dan keperluan seseorang tidak akan dipenuhi.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Dengan ini diharapkan, agar sifat malu yang terpuji mampu mencegah seseorang daripada perbuatan maksiat dan mendorong ke arah pelbagai kebaikan. Sebagai seorang yang beriman, kita tidak perlu malu untuk mengucapkan kalimah yang baik dan bertanya sesuatu yang tidak difahami dalam urusan agama. Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:
Pertama: Sifat malu adalah adalah sebahagian daripada indikator kesempurnaan iman seorang muslim.
Kedua: Amalan riba’ akan memusnahkan nilai kemanusiaan dan mengakibatkan berlakunya penindasan dan kezaliman.
Ketiga: Pengharaman riba’ adalah satu usaha untuk memperbaiki akhlak manusia secara adil bukan penghalang kepada kemajuan kegiatan ekonomi.
Maksudnya: “Sebenarnya orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat Kami, tidak terselindung dari Kami. Maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam Neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman pada hari kiamat? Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan” (Surah Fussilat: 40)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan Mu, negara kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan kekalkanlah perpaduan di kalangan kami. Semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, sejahtera dan selamat sepanjang zaman.



Post Top Ad