SRA Kampung Kuantan Klang

Hot

Post Top Ad

Post Top Ad

Jumaat

Khutbah Jumaat : Malu Benteng Mencegah Kemaksiatan

12:52 PTG


SIDANG JEMAAH YANG DIRAHMATI ALLAH SEKALIAN,

Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.  Khutbah pada hari ini akan membicarakan tajuk: “SIFAT MALU BENTENG MENCEGAH KEMAKSIATAN”.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa sifat malu memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada manusia terutama dalam membentengi diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan. Namun, sejak kebelakangan ini sifat terpuji tersebut sudah mula ditinggalkan oleh segelintir masyarakat kerana beranggapan bahawa maksiat yang dilakukan secara tersorok tidak diketahui oleh sesiapa pun. Lebih-lebih lagi sekiranya maksiat yang dilakukan dianggap dosa peribadi yang tidak perlu dipertikaikan oleh orang lain. Saat ini, mereka seolah-olah terlupa bahawa setiap amal mereka dicatat dan dirakam oleh malaikat yang diutus oleh Allah SWT.
Ibnul Qayyim menukilkan bahawa tahap malu seseorang itu berkait rapat dengan keadaan hati mereka. Tatkala sifat malu seseorang itu sangat rendah, ia menunjukkan yang hati dan rohnya telah mati. Sebaliknya, sifat malu yang tinggi menunjukkan keadaan hati mereka menjadi hidup malah mampu membenteng diri daripada melakukan kemurkaan Allah SWT.
Dalam hal ini, hati yang hidup adalah bersangkut-paut dengan adanya sifat malu kepada Allah SWT dan malu kepada manusia. Menurut Imam Tirmizi bahawa Abdullah Ibnu Mas’ud r.a berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang mafhumnya:

“Hendaklah kamu benar-benar merasa malu kepada Allah SWT. Jawab para sahabat, “Kami sudah merasa malu, Ya Rasulullah. Jelas baginda, “Bukan itu maksudnya. Sesiapa yang benar-benar merasa malu kepada Allah SWT, maka dia perlu menjaga kepala dan isinya, menjaga perut dan isinya serta selalu mengingati mati. Sesungguhnya orang yang mencintai akhirat pasti akan meninggalkan keindahan dunia. Sesiapa yang melakukan ini bererti dia benar-benar merasa malu kepada Allah SWT.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Para ulama bersepakat mengatakan bahawa sifat malu itu adalah sebaik-baik sifat yang harus dimiliki oleh manusia yang waras fikirannya dan lurus perjalanannya. Manusia belum dikira sempurna akhlaknya selagi belum bersifat dengan sifat malu. Firman Allah SWT dalam Surah Al Mulk ayat 12:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang takutkan Tuhannya semasa tidak kelihatan, bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.”

Dengan kata lain, mereka yang merasa malu kepada Allah SWT akan bertindak menjauhi segala larangan-Nya dalam semua keadaan sama ada dilihat mahupun tidak. Yang paling nyata, pelaksanaan sifat malu itu ialah ibadah yang buahnya daripada ma’rifatullâh (mengenal Allah) yang terzahir akibat hampirnya seseorang dengan Allah SWT.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Selain itu, kita juga perlu merasa malu kepada manusia. Dengan ini diharapkan sifat malu tersebut dapat mencegah kita dari perbuatan yang tidak selayaknya kita lakukan seperti menyebar fitnah, menjadi batu api dan segala maksiat yang lain. Sebaliknya, mereka yang tiada sifat malu akan menyebabkan benteng dirinya runtuh dan sukar menghalangnya daripada melakukan maksiat. 
Termasuk dalam perbuatan maksiat ini ialah perbuatan riba’ yang terus berkembang kerana sikap segelintir manusia yang suka mengejar keuntungan dunia tanpa ada belas kasihan kepada orang lain. Dalam Islam, memungut riba atau mendapatkan keuntungan berupa riba pinjaman adalah haram. Riba, menyebabkan cahaya sifat malu menjadi malap dan akhirnya terpadam dalam kehidupan manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Al Baqarah ayat 278:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut), jika benar kamu orang yang beriman.”

Apa yang menyedihkan, masih ada segelintir masyarakat yang menganggap riba itu sama sahaja dengan jual beli. Mereka seolah-olah tidak memahami hakikat riba’ yang sebenar dan akhirnya tersesat akibat tidak ada rasa ingin tahu hukum syarak dalam soal perniagaan. Bahkan ada pula yang sengaja tidak mahu ambil tahu atau pura-pura tidak tahu dan tidak mahu bertanya kepada para ulama kerana menganggapnya akan menyusahkan dirinya sendiri. Imam Al Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Mafhumnya: “Daripada Abi Hurairah r.a bahawa Nabi SAW bersabda: Akan datang kepada manusia suatu masa di mana seseorang tidak lagi peduli dengan cara apa ia mengambil harta, apakah cara itu halal atau haram”.

Ada pula yang menganggap rasuah itu sebagai jalan mudah untuk mengecap kekayaan dunia sehingga bukan sahaja melakukan dosa malah menjejaskan reputasi umat Islam. At-Tabrani meriwayatkan: 

Mafhumnya: “Daripada Ibnu Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda: Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam api neraka”. (HR at-Tabrani)

Angkara perbuatan ini, tercabutlah sedikit demi sedikit sifat malu dari dalam diri seseorang. Ibn Qayyim pernah menegaskan bahawa sifat malu adalah sifat yang khusus bagi kemanusiaan, maka orang yang tidak memiliki rasa malu bererti tidak ada bagi dirinya sifat kemanusiaan. Kesannya, tetamu tidak akan dihormati, janji tidak ditepati, amanah tidak ditunaikan dan keperluan seseorang tidak akan dipenuhi.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Dengan ini diharapkan, agar sifat malu yang terpuji mampu mencegah seseorang daripada perbuatan maksiat dan mendorong ke arah pelbagai kebaikan. Sebagai seorang yang beriman, kita tidak perlu malu untuk mengucapkan kalimah yang baik dan bertanya sesuatu yang tidak difahami dalam urusan agama. Sebagai mengakhiri khutbah pada hari ini, mimbar ingin mengajak sidang Jumaat sekalian untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita, antaranya:
Pertama: Sifat malu adalah adalah sebahagian daripada indikator kesempurnaan iman seorang muslim.
Kedua: Amalan riba’ akan memusnahkan nilai kemanusiaan dan mengakibatkan berlakunya penindasan dan kezaliman.
Ketiga: Pengharaman riba’ adalah satu usaha untuk memperbaiki akhlak manusia secara adil bukan penghalang kepada kemajuan kegiatan ekonomi.
Maksudnya: “Sebenarnya orang yang menyeleweng dari jalan yang benar mengenai ayat-ayat Kami, tidak terselindung dari Kami. Maka adakah orang yang dihumbankan ke dalam Neraka lebih baik, atau orang yang datang dalam keadaan aman pada hari kiamat? Buatlah apa yang kamu suka, sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan” (Surah Fussilat: 40)

KHUTBAH KEDUA

Ya Allah, kami memohon agar dengan rahmat dan perlindungan Mu, negara kami ini dan seluruh rakyatnya dikekalkan dalam keamanan dan kesejahteraan. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan kekalkanlah perpaduan di kalangan kami. Semoga dengannya kami sentiasa hidup aman damai, sejahtera dan selamat sepanjang zaman.



Read More

Rabu

Sekolah Rendah Agama Kampung Kuantan Klang

2:51 PG




SRA Kg Kuantan
Guru Besar : Thuraiya bt Sanip
Alamat : Bukit Kuda, Kg Kuantan 41300 Klang
Telefon : 03-33440687 / 019-2225434






LAGU SEKOLAH


SEKOLAH KU YANG TERCINTA
KAMI BANGGA SENTIASA
MEMAHAMI AL-QURAN ASAS UTAMA
SERTA MENGHAYATINYA
AS-SUNNAH JADI PEGANGAN
DI DALAM KEHIDUPAN
MEMBENTUK KAMI SEPANJANG ZAMAN
DI SRA KAMPUNG KUANTAN
ILMU…ASAS KEJAYAAN
KEARAH KECEMERLANGAN
SRA KAMPUNG KUANTAN
GEMILANG TERUS TERBILANG
SRA KAMPUNG KUANTAN
MENUJU KECEMERLANGAN

Read More

Isnin

Adap terhadap ibu bapa

10:44 PG

Allah s.w.t telah berfirman di dalam Al Quran : Maksudnya : "Allah melarang kamu daripada menyembah selain kepadaNya , dan menyuruh supaya kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa. Jika salah seorang diantara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya "ah" dan janganlah kamu membentak mereka tetapi ucapkan kepada mereka perkataan yang mulia. (Al- Isra': Ayat 23)

"Rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah :" Wahai, Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mengasihi aku di waktu aku kecil" (Al- Isra': Ayat 24)
Read More

Rabu

Subhanallahi wabihamdih

10:41 PG
 
Rasulullah saw. bersabda, "Sesiapa yang mengucapkan  سبحان الله و بحمده (SUBHA NALLAHI WA BIHAM DIH) (Maha Suci Allah dan segala pujian bagi-Nya) dalam satu hari seratus kali, nescaya dihapuskan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di laut.” [HR. Bukhari dan Muslim]

Nabi saw. bersabda, "Ucapkan tasbih سبحان الله و بحمده (SUBHA NALLAHI WA BIHAM DIH) seratus kali, niscaya akan dicatat baginya seribu kebaikan dan dihapus baginya seribu keburukan." (HR. Muslim)
Read More

Tanda-tanda Lailatul Qadar

3:54 PTG
' Lailatul Qadar telah dikurniakan kepada umat ini (umatku) yang tak diberikan kepada umat-umat sebelumnya.'' (Al-Hadis).

Suatu hari, dalam sebuah riwayat, Rasulullah SAW berkisah kepada para sahabat tentang seorang seorang yang soleh dari Bani Israil. Orang tersebut menghabiskan waktunya selama 1,000 bulan untuk berjihad fi sabilillah. Mendengar kisah itu, para sahabat merasa iri, kerana tak boleh mempunyai kesempatan untuk beribadah selama itu.

Usia umat Nabi Muhammad SAW memang lebih pendek dari umat terdahulu. Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Rasulullah SAW pernah merenungi hal itu. Nabi SAW pun bersedih, kerana mustahil umatnya dapat menandingi amal ibadah umat-umat terdahulu.

'' Dengan penuh kasih sayang yang tak terhingga, Allah SWT lalu mengurniakan Lailatul Qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW,'' ungkap Maulana Muhammad Zakariyya Al-Kandahlawi dalam kitab Fadha'il Ramadhan. Menurutnya, Lailatul Qadar adalah suatu malam kurniaan Allah yang sangat besar kebaikan dan keberkahannya.

Lalu apa sebenarnya Lailatul Qadar itu? Dr HM Muchlis Hanafi, pakar tafsir dari Universiti Al Azhar Mesir, mendedahkan, Lailatul Qadar bererti malam yang penuh dengan kemuliaan. Pada malam itu, kata dia, diturunkan Al-Quran yang mempunyai kemuliaan, melalui seorang malaikat yang juga sangat mulia dan diterima seorang nabi yang juga sangat mulia.

'' Qadar juga boleh bermakna saiz. Ukuran segala sesuatu itu ditetapkan pada malam itu, rezeki seseorang, apakah dia bahagia atau tidak? Sampai setahun ke depan ditetapkan pada malam itu,'' tutur Dewan Pakar Pusat Pengajian Al-Quran (PSQ) itu.

Menurut Muchlis, Lailatul Qadar mempunyai sejumlah keistimewaan. Betapa tidak. Pada malam itu, Al-Quran diturunkan. Selain itu, Lailatul Qadar itu lebih baik dari 1,000 bulan. Pada malam itu, kata dia, para malaikat dan Ar-ruh (yang dimaksudkan adalah Malaikat Jibril) turun ke bumi.

'' Para malaikat itu turun dengan membawa rahmat dan keberkatan,'' ujarnya. Yang tak kalah penting, malam yang istimewa itu membawa kedamaian, rasa aman kepada siapa saja yang menjumpainya sampai terbit fajar.

Dalam sebuah riwayat, papar dia, yang dimaksudkan fajar adalah terbit fajar di keesokan harinya. Tapi hatta mathla'il fajr, bererti sampai tiba saatnya fajar kehidupannya yang baru di akhirat nanti.

Lalu adakah ciri-ciri akan datangnya Lailatul Qadar? Menurut Muchlis, tanda-tanda fizikal seperti yang popular di kalangan masyarakat bahawa malam itu tenang, angin sepoi-sepoi, kemudian matahari di keesokan harinya mendung dan tidak terlalu panas, riwayat-riwayatnya tidak boleh dipertanggungjawabkan kesahihannya.

'' Tanda-tanda fizikal seperti itu secara logik, juga sukar diterima. Kerana, sangat relatif, bergantung musim. Kalau musim hujan, ya, pasti mendung, apalagi dengan perubahan iklim sekarang. Jadi, tanda-tanda fizikal itu tidak boleh dijadikan ukuran. Tanda yang pasti adalah salaamun hiya hatta mathla'il fajr,'' katanya.

Yang pasti, kata dia, salah satu tanda yang pasti dari Lailatul Qadar adalah orang selalu merasa damai, selalu menebar kedamaian dalam hidupnya sampai dia meninggal dunia, bahkan sampai dibangkitkan kembali menyongsong fajar kehidupan yang baru.

Tak ada seorang pun yang tahu bila-bila tetamu agung itu akan datang. Hanya Allah SWT yang mengetahui bila-bila malam yang lebih baik dari 1,000 bulan itu akan menghampiri hambanya. Terlebih, sebagai tetamu agung, Lailatul Qadar hanya dianugerahkan kepada orang-orang yang mendapat taufik dan beramal soleh pada malam itu. Mengapa begitu? Supaya kita semakin giat mencarinya sepanjang hari, khususnya pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadhan.

Prof Nasaruddin Umar, menambah Lailatul qadar itu mempunyai banyak makna. Menurut dia, Lailatul Qadar boleh diertikan secara fizikal bahawa betul-betul memang malam itu ada sesuatu yang istimewa.

Menurut dia, pada malam itu malaikat turun berbendong-bondong sangat luar biasa dan hanya saat itu, minit itu atau jam itu. Adalagi yang memaknai lailatul qadar simbolik sesungguhnya. Laila ertinya malam, malam bererti keheningan, kesyahduan, kepasrahan, tawakal, kerinduan, kehangatan, termasuk juga kekhusyukan.

Sebagaimana banyak dijelaskan dalam pelbagai buku sejarah, termasuk Sirah Nabawiyyah, Lailatul Qadar itu hanya terjadi sekali dalam setahun, yakni hanya pada bulan Ramadhan. Dan itupun, waktunya tidak ditentukan. Ada yang berpendapat, terjadi di malam ganjil pada sepuluh malam terakhir Ramadhan.

Pakar hadis, Dr Lutfi Fathullah MA mendedahkan, kerana begitu mulianya Laailatul Qadar, Rasulullah saw mengajak seluruh sahabatnya, isteri-isterinya sampai kepada pembantu-pembantunya untuk memperbanyak ibadah. Kerana itu, ketika isteri-isteri Rasulullah diminta untuk mencari Lailatul Qadar, Aisyah RA berkata, Ya Rasulullah bagaimana kalau saya yang mendapatkan? Apa yang perlu saya baca? Minta rumah, minta kekayaan atau minta yang lain?

Rasulullah mengajarkan bacalah,'' Allahumma innaka afuwwun karim tuhibbul afwa fa'fu anni (Ya Allah Engkalau Yang Maha Pengampun Lagi Maha Pemurah, Engkau senang mengampuni hamba-hambaMu kerana itu ampunilah dosa-dosaku).'' Semoga, kita dipertemukan dengan malam Lailatul Qadar.

sumber republika.co.id



Read More

Post Top Ad